Wednesday 25 January 2012

Allah Pasti Makbulkan Doa, cuma dengan cara berbeza

Kepunyaan-Nya, bukan kepunyaan Nadirah Izan 0 pemikir berseni


Ketahuilah wahai jiwa-jiwa yang mengharap padaNya...
Bahawa doa itu dimakbulkan oleh Allah melalui banyak cara.
Ketahuilah bahawa ilmu Allah itu tidak terjangkau dek akal kita, hamba yang lemah.

Maka, pastinya Allah paling mengetahui setiap rintihan, keluhan, keresahan dalam hati kita, walau kita tidak luahkannya. Maka, setiap ketentuan Allah itu pasti ada hikmahnya. Pasti.

Kita mungkin mengharapkan begini dan begini, namun Allah telahpun menetapkan hal yang lain buat kita. Kerana Dia Maha Mengetahui yang terbaik buat kita, hambaNya.

Percayalah. Pandang ke hadapan. Luaskan pemikiran. Ilmu Allah S.W.T itu terlalu luas, lagi Maha Tinggi.
Setiap bencana yang menimpa di Bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah.

Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membangga diri, iaitu orang-orang yang kikir dan menyuruh orang lain berbuat kikir. Barang siapa berpaling (dari perintah-perintah Allah), maka sesungguhnya Allah, Dia Maha kaya, Maha terpuji.
[Surah al-Hadid, ayat 22-24]



Allah telah pun mengetahui apa yang bakal berlaku dalam kehidupan kita, sedangkan kita tidak mengetahui apa-apa.Mungkin hari ini kita boleh tersenyum, tapi esok lusa belum tentu. Rugilah insan-insan yang dalam hidupnya, dia leka, gembira tanpa pernah merasai nikmat derita.

Kerana Dia tidak pernah teruji imannya dengan kesusahan. Dia belum pernah merasai nikmat merintih padaNya. Tapi kita? Sedarlah, insan-insan yang diuji dengan kesusahan ini pernah merasai semua itu. Yakinlah bahawa Allah telah menghitung setiap keikhlasan kita dalam berdoa, setiap jerih perih kita dalam berusaha, setiap keperitan kita dalam menghadapi ujian.

Allah Tahu semua itu.

Yakinlah wahai jiwa-jiwa yang tak pernah putus asa! Allah pasti membantu kita :)

Sunday 15 January 2012

Cinta Rasulullah s.a.w

Kepunyaan-Nya, bukan kepunyaan Nadirah Izan 0 pemikir berseni
Pada satu ketika..
Rasulullah s.a.w bergurau bersama dua orang cucunye, iaitu Hussin dan Hassan...
Ketika bergurau, Rasulullah telah mencium pada salah seorang di antara mereka di bahagian perut,dan seorang lagi di bahagian leher. Ini kerana Rasulullah telah mengetahui bagaimana keadaan cucunya ketika meninggal dunia nanti dalam keadaan syahid.


Setiap nabi mempunyai satu doa yang mustajab. Mengetahui akan hal itu, ibu kepada Hussin dan Hassan,yakni puteri Rasulullah s.a.w telah memohon kepada Rasulullah supaya memohon kepada Allah untuk menarik balik apa yang telah tertulis di Luh Mahfuz, lalu baginda menjawab ; “Sesungguhnya doaku yang satu itu adalah untuk umatku di padang mahsyar nanti”. SubhanAllah.

Monday 9 January 2012

Kota kubur

Kepunyaan-Nya, bukan kepunyaan Nadirah Izan 0 pemikir berseni


Seorang lelaki berserban dan berjubah berjalan seorang diri meredah padang pasir yg tandus.Sampai di pertengahan jalan seorang anggota tentera yang sedang menunggang kuda lalu di kawasan itu. 

"Kau ni siapa?"tanya tentera tersebut. 
"Saya hanyalah seorang hamba!"beritahu lelaki berjubah itu. 
"Errr! Mana jalan nak pergi ke kota paling hampir di sini?" tanya tentera itu lagi. 
"Nun di sana tu,"kata lelaki berjubah itu sambil menunjukkan ke arah sebuah perkuburan lama. 
"Hoi Orang tua! Engkau sengaja nak permain-mainkan aku ya!"tengking tentera itu 

Lelaki berjubah itu dibelasah sehingga kepalanya luka dan berdarah.Kemudian tentera itu mengikat leher lelaki tersebut dengan seutas tali dan mengheretnya di atas pasir.
Perbuatan tentera itu diperhatikan sekumpulan penduduk dari kota berhampiran dengan penuh kehairanan. Mereka beramai-ramai mendekati dan terkejut melihat lelaki yang didera itu seorang yang amat dihormati.

"Hei! Jangan seksa orang tua ni! Kalau kamu nak tahu inilah Ibrahim Adham,orang alim yang paling disegani di kota ini," jerit seorang penduduk tempatan. Tentera itu tergamam. Serta-merta dia berlutut di depan lelaki berjubah itu sambil menangis.
Maafkan saya tuan! Ampunkanlah kesalahan saya! Saya menyangka tuan benar-benar seorang hamba!" rayu tentera itu. Ibrahim bertanya sambil tersenyum.
"Siapakah manusia yang bukan bergelar hamba?"

Lelaki itu terdiam. Dia tidak mampu menjawab pertanyaan Ibrahim. Rasa malu menyelinap dalam dirinya kerana tidak sengaja telah menganiaya ulama terkemuka itu.

Ketika itulah Ibrahim mengangkat tangan sambil berdoa:
"Aku mendoakan agar hidup engkau mendapat berkat. Balasan terhadap diriku kerana perbuatanmu adalah syurga dan aku tidak senang hati jika balasan untukmu adalah neraka... ." Lelaki itu bertanya kepada Ibrahim: "Kenapa tuan menunjukkan kawasan perkuburan bila saya tanya arah nak ke kota?
" Ibrahim dengan nada perlahan menjawab: 
"Kerana,makin lama kota semakin kosong tapi kubur semakin penuh!"

Friday 6 January 2012

Luhur Budi Pejuang Islam

Kepunyaan-Nya, bukan kepunyaan Nadirah Izan 0 pemikir berseni


Di zaman permulaan bangkitnya Agama Islam, banyak peperangan telah berlaku antara pihak tentera Islam dan pihak musyrikin. Banyak puak-puak Arab yang musyrik telah bangkit menentang Kerajaan Islam yang berpusat di Kota Madinah. Salah satu peperangan besar yang dihadapi oleh umat Islam ketika itu ialah Perang Yarmuk.

Dalam Perang Yarmuk, suatu peristiwa yang sungguh mengharukan telah terjadi. Salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w bernama Abu Jahim bin Huzaifah yang menyertai pepeangan itu, telah meriwayatkan satu peristiwa tentang pengorbanan pejuang-pejuang Islam yang luhur budi, mulia hatinya. Beliau bercerita ;



...

Semasa peperangan itu, saya sedang mencari saudara sepupu saya yang berada di barisan hadapan sekali. Saya bawa bersama-sama sedikit air supaya dapat memberi manfaat buat dirinya. Tatkala saya menjumpainya, dia sedang terbaring berlumuran darah dan mengerang kesakitan. Peluangnya untuk hidup sangatlah tipis berikutan keadaannya yang parah. Melihatkan keadaan itu, saya lantas berkejar ke arahnya untuk memberikan air.

Tetapi, hampir saya memberikannya air itu, saya terdengar seorang lagi pejuang Islam meneriak," Berikan saya air! Air!". Mendengar suara itu, lantas saudara sepupu saya mengisyaratkan saya supaya melayani orang itu terlebih dahulu. Maka, tanpa berlengah lagi saya terus mendapatkan orang itu. Pejuang itu rupanya orang yang saya amat kenali, tidak lain beliau ialah Hashim Bin Abilas.

Tetapi, belum pun sempat saya memberikan air pada Hashim, tiba-tiba terdengar suara orang mengerang kesakitan di sebelahnya pula, juga meminta air. Hashim juga lantas mengisyaratkan saya supaya memberikan air itu terlebih dahulu kepada pejuang tersebut. Bagaimanapun, sebelum sempat saya memberikan air kepada pejuang yang mengerang kesakitan itu, beliau telah mati syahid.

Lalu saya bergegas mendapatkan semula Hashim, tetapi sedihnya bahawa beliau juga telah mati syahid. Tanpa lengah lagi saya terus mendapatkan semula saudara sepupu saya itu. Sungguh tidak tahan di hati saya pabila saya dapati dia juga telah mati syahid.

Demikianlah satu contoh keluhuran budi yang diperlihatkan oleh pejuang-pejuang Islam yang beriman. Walhal di ambang kematian sekalipun, mereka tidak hiraukan kepentingan diri. Bagaimana pula kita?



Wednesday 4 January 2012

Kesempurnaan Hati

Kepunyaan-Nya, bukan kepunyaan Nadirah Izan 0 pemikir berseni



Suatu ketika, seorang pemuda yang tampan berdiri di tengah-tengah kota dan mendakwa bahawa dia memiliki sekeping hati yang paling cantik. Lalu diangkat hatinya setinggi yang boleh agar kilauan dari hati yang indah itu dapat dilihat oleh orang lain di sekitarnya.

Tersebar bicara kekaguman orang ramai. Sememangnya hati pemuda itu, tiada cacat celanya. Tidak carik walau sedikitpun. Permukaannya licin sempurna. Warnanya juga segar dan menyerlah pesona seorang anak muda.

Pemuda tampan itu mulai merasa bangga dengan pujian yang diterima. Sorakannya semakin kuat mewar-warkan betapa indah sekeping hati yang dimilikinya.

Tiba-tiba, di tengah-tengah keriuhan itu, muncul seorang tua. Langkahnya perlahan menuju ke arah pemuda tampan. Lagaknya, seolah dia mahu membicarakan sesuatu.

“Wahai anak muda, mengapa kulihat hatimu hampir tidak seindah hatiku?” Orang tua tersebut bertanya dalam nada suara yang agak lemah tetapi penuh keyakinan. Orang ramai dan si pemuda mulai berkeliling mengerumuni orang tua.

Mereka mendengar degup yang kuat tercetus dari hatinya, tetapi hati itu dipenuhi luka. Di satu sisi, kelihatan permukaannya bertampal-tampal. Ada potongan hati yang diambil dan potongan yang lain dimasukkan ke dalamnya, tetapi ia kelihatan tidak berpadanan. Pada satu sudut yang lain, terdapat pula beberapa tanda patah. Bahkan, di beberapa tempat, terdapat lubang yang dalam, di mana seluruh bahagian permukaannya telah hilang.


Melihat itu, orang ramai saling berpandangan.

......

"Bagaimana orang tua ini boleh mengatakan bahawa hatinya lebih indah?" fikir mereka.
Sementara itu, pemuda tampan tertawa.

"Tentu engkau bergurau, wahai orang tua," katanya.

"Kalau dibandingkan hatimu dengan hatiku, apa yang aku ada ini adalah sangat sempurna, sedangkan kepunyaanmu begitu berantakan dengan bekas-bekas luka dan air mata," lanjutnya lagi.

"Ya, memang benar" tukas si tua penuh kesabaran.

"Kepunyaanmu adalah sempurna, namun aku tidak sesekali akan menukarnya dengan hatimu. Andai saja kau lihat wahai anak muda, setiap bekas luka di hatiku ini mewakili setiap seorang yang telah aku berikan cintaku buat mereka. Aku merobek sepotong hatiku dan memberikannya kepada mereka, dan setiap kali itu juga mereka memberiku sepotong dari hati mereka untuk mengisi tempat kosong di hatiku ini, tetapi kerana potongan-potongan itu tidak tepat, lalu menyebabkan ketidaksempurnaannya, bahkan ia kelihatan kasar dan tidak rata.

Namun, aku tetap menghargainya, kerana pemberian mereka mengingatkanku pada cinta yang terbina bersama antara kami. " Panjang lebar bicara orang tua. Si pemuda tampan terpaku mendengar patah katanya.

"Kadang-kadang aku telah memberikan potongan hatiku, tetapi orang yang kuberikan potongan hatiku itu, tidak memberikan kembali sepotong hatinya kepadaku. Inilah yang mengakibatkan wujudnya lubang-lubang ini. Kau tahu wahai anak muda, sesungguhnya memberikan cinta adalah bermakna memberikan peluang dan kesempatan. Walaupun bekas robekan itu menyakitkan, ia akan tetap terbuka lantas mengingatkanku tentang cinta yang masih aku miliki untuk mereka. Dan aku berharap suatu ketika nanti mereka akan kembali dan mengisi lompong-lompong kosong yang sekian lama kutunggu-tunggu agar ia diisi.

Nah, sekarang fahamkah engkau tentang kecantikan sejati? " Si tua mengakhiri kata-katanya.

Pemuda tampan itu terus terdiam. Dia menundukkan kepala dengan air mata mengalir di pipinya. Dia menghampiri orang tua, mengambil hatinya yang sempurna, muda dan cantik itu dan merobek keluar satu potongan darinya. Dia menawarkan potongan tersebut kepada orang tua dengan tangan gementar.

Si tua itu menerima pemberian tersebut lalu meletakkannya pada hatinya dan kemudian mengambil pula sepotong dari bekas luka lama di hatinya dan menempatkannya untuk menutup luka di hati pemuda itu.

Sungguhpun ia sesuai, tetapi ia tidak sempurna, kerana ada beberapa tanda patahan.
Orang muda itu menatap hatinya yang tidak lagi sempurna tetapi kini lebih indah dari sebelumnya, lantaran cinta dari hati orang tua itu kini mengalir kepada hatinya. Mereka bergandingan dan berjalan bersama meninggalkan orang ramai terus terpaku dengan peristiwa menginsafkan itu.



“Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radiallahuanhu, pembantu Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Contact Lens Malaysia @ BORONG Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea