Monday 25 April 2011

DARUL TAQWA : Ferrari & Pierre Cardin

Kepunyaan-Nya, bukan kepunyaan Nadirah Izan


                                           

     Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-kan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta? Zaman yang kolot dan purba? Begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkan ke tepi jalan.

"Assalamualaikum pakcik..tolong kutip kertas tu. Nanti pakcik rugi di akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman," bunyi satu suara di belakangnya. Dia bingkas berpaling. Siapa yang berani menegurku tadi? Hei, aku Datuk Dr. Johar, orang besar negara ini! Getus si hati.

  "Pakcik, biarlah saya tolong kutip, sebelum Penguatkuasa Iman & Islam datang, nanti didendanya pakcik," kata budak kecil berpakaian putih dengan serban berlilit di kepala.

Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit. Siapa yang tak kelabu mata tengok duit biru dan merah berlapis-lapis! Namun, Datuk Dr. Johar terus kebingungan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang yang sotisfikated. Ada helikopter bersimpang-siur bergerak di udara. Railbus bercerakah di sana sini. 'Bullet Train' meluncur bagaikan anak panah dilepaskan dari busarnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden pasti! Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah laku mereka..ah, di mana aku sekarang ini? Gerutu hati pakcik yang menggelar dirinya Datuk Dr. Johar itu.


     "Hoi budak, aku di mana sekarang?" soalnya kepada budak yng menegurnya tadi. Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah sekali. Tenang dan bersuara lunak. Apakah ini yang dipanggil Aladdin, budak arab dengan lampu ajaibnya? Teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikirannya.

     Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat berkata-kata, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Terdapat lambang kuasa di hadapannya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak. Jubah mereka berwarna hitam berjalur biru.

     "Assalamualaikum, maaf pakcik. Kami terpaksa menyaman pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa. Kami terpaksa menyaman pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman. Pakcik disaman 30 kali Subhanallah, 30 kali Astaghfirullah dan selawat 100 kali," kata pegawai penguatkuasa itu dengan berhemah dan lembut.

     Datuk Dr. Johar tersentak. Apa namanya undang-undang ini? Tak ada dalam bandaraya di seluruh pelosok dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya melambung tinggi. Apa? Dia nak marahkan aku? 

"Ni duit lima ratus. Saya tak mau buat apa yang kamu suruh. Kita selesaikan disini sahaja.  Berapa gaji yang kamu dapat sebulan?" tanyanya dengan angkuh.

"Pakcik, kita bekerja kerana Allah s.w.t, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat", kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang.

"Oh..oh.maafkan kami sekali lagi pakcik. Kami nak tanya, kenapa pakcik pakai pakaian zaman dahulu? Mana pakcik dapat pakaian macam tu?" tanya pegawai itu pula. 

     Aku yang gila atau dia yang gila? Detak hatinya. Dia berjalan ke arah Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenamanya yang mahal-mahal pula –Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenama John Master. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman!

     “Anak muda, pakaian pak cik ini pakaian pemimpin. Pak cik orang besar di nagara ini. Pak cik dah keliling dunia dengan pakaian ini.”
     “Pak cik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau, ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa. Moyang-moyang kami dulu saja yang mempertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami dapat melihat gambar-gambarnya sahaja, itupun dalam buku zaman peralihan Islam. Orang barat zaman moden ni dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang berpakaian macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sesebuah negara Islam seperti Darul Taqwa”.

Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan.

     “Dimana aku sebenarnya ni?” dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi jalan. Dia masih kenal ini Jalan Chow Kit di tengah bandaraya  Kuala Lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tiada.

     “Pakcik, ini Bandar Mutmainnah. Ini Jalan Mujahadah. Nama saya Haji Din, Pegawai Penguatkuasa Iman & Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan lahir dan batin penduduk bandar ini.”

   Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi Jalan Mujahadah? Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang  benak Datuk Dr. Johar.

     “Pakcik, kami rayu pakcik membayar saman tadi. Kalau tak boleh, lepas solat nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia akhirat”.

Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring dan jelas. Seorang lelaki pertengahan umur datang kepada pegawai penguatkuasa.

“Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah! Seksa neraka amat pedih...tolonglah tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya di hukum di akhirat!” rayu lelaki itu sungguh-sungguh.

Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang dan kesempatan itu di ambil oleh Datuk Dr. Johar. Dia berlari sekuat-kuat hatinya. Peliknya mereka tidak pula mengejarnya. Dia terlepas..lega.

Dahaga, lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan. Dia perlu minum. Tapi di mana? Tiba-tiba dia terdengar suara komputer dari sistem suara di tepi-tepi jalan.

     “Assalamualaikum kepada seluruh warga Kota Mutmainnah. Syed Al-Anwar, hartawan besar berada di jalan Uwais Al-Qarni. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima nasi dan minuman.  Sila datang!”

     Datuk Dr. Johar, orang besar Daru Ghurur itu tidak akan mencemar duli menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan berjubah. Matanya tidak betah lagi melihat itu semua. Tapi kerana lapar dia masuk juga.

     “Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita, di sini untuk lelaki.”

     “Ceh! Diskriminasi...’double standard’, lelaki dipisahkan daripada perempuan!” mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya.

     “Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni..”

Lelaki itu tersenyum.

     “Empat puluh tahun dulu adalah. Sekarang kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan jiwa dan fikiran sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini. Tuan Amir Muhammad, pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa ‘Women’s Lib’. Kalau tuan ada membawa anak dan isteri, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak-anak perempuan”, terangnya. Mukanya jernih manakala serban dan jubahnya putih suci.

     “Ini bertentangan dengan dasar demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tidak macam ni!” bentaknya.

     “Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama idealogi itu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tidak ada lagi orang berpegang dengan fahaman jahiliah itu..SubhanAllah..” keluh tuan restoran itu sambil mengurut-urut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika dia menggelengkan kepala.

     Ah,persetankan semua itu! Perut aku lapar! Tingkah hati Datuk Dr. Johar sambil meluru ke dalam restoran.

   “Nasi Beriyani sepinggan!” ujarnya kepada pelayan.

   “Dalam pinggan, tuan? Tanya pelayan itu kehairanan.
   “Ya, apa peliknya?”
   “Baik, tuan. Tapi semua orang berebut pahala makan berjemaah. Tuan makan seorang?” tanya pelayan berkulit hitam itu.

     Dia bertambah geram. Direnung ke tempat orang menikmati makanan. Tidak ada meja makan. Hanya hamparan permaidani mewah dan tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan dengan satu dulang. Yek! Jijiknya!

Ah, aku tetap aku! Aku ada pendirian!

Nasi beriyani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas.

     “Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki,” pelawa pelayan itu dengan sopan dan senyuman manis di bibir.

     Datuk Dr. Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin dilengkapi dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagai kera sumbang.

     “Ya ,Allah. Apa musibah yang menimpa ana subuh tadi. Ana mabuk dalam solat jemaah subuh,” ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang sangat kecewa. Suapannya perlahan seperti tak lalu makan sahaja.

     “Anta tak tampung dengan amal makrifat yang lain?” tanya sahabatnya di sebelah. Dia nampak simpati. Datuk Dr. Johar pasang telinga sahaja.

     “Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit. Tapi malang nasib ana, ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana,” keluhnya.

     “Ah, susah sikit sekarang. Orang miskin dibolotnya pahala redha dan sabar. Mereka sepatutnya bantulah kita.”

     “Tolonglah terima sedekah kita. Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ni. Dahlah di akhirat nanti banyak hisabnya, di dunia orang tak sudi terima sedekah kita. Oh..!” keluh sahabat lain.

      “Kalaulah kita hidup di zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang banyak ni. Saya pun harta ni melalui warisan daripada bapa yang diwariskan oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek Negara nak gunakan duit kita untuk kemaskinikan kementerian-kementeriannya. Saya nak labur habis-habisan. Biar jadi saham akhirat!” kata pemuda itu bersungguh. Mereka pun makan dengan perlahan-lahan. Datuk Dr. Johar makin pelik.

     “Tambah nasi sepinggan lagi!” ujarnya kepada pelayan restoran.

     “Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan, berhentilah sebelum kenyang. Maaf tuan, saya terpaksa berkata demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan...”kata pelayan itu lagi.

     “Apa? Awak pegawai perubatan? Doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya ditugaskan di hospital, bukan di restoran!” bentaknya. Marah campur geram kerana ditegur.

     “Tuan, mana ada hospital sekarang ini.. Yang ada pun khusus untuk bayi, kanak-kanak dan wanita, serta para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berperang sahaja. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti bila kenyang, tuan akan sihat. InshaAllah, kita tak perlu hospital”.

     “Bodoh! Kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ni?” leternya lagi.

    “Penyakit kencing manis? Tuan mengidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990 dahulu. Sekarang penyakit tu dah tiada siapa mengidapnya..”

     “Batalkan saja order saya, banyak sangat cakap, boring!! Saya perlu hiburan sekarang. Di mana saya boleh dapatkannya?”

     “Di sana, tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa-apa sahaja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma!” terang si pelayan.

     Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan.

     Berbagai butang pelbagai warna berkelip-kelip. Sangat rumit. Diberanikan hatinya menekan satu butang berwarna hitam. Dalam skrin timbul tajuk besar-KHAUF.
Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu. Agaknya?



  • MATI ITU TERLALU SAKIT
  • ALAM BARZAKH YANG PASTI
  • MIZAN NOKHTAH PENYESALAN
  • IZRAEL DATANG TIBA-TIBA
  • FIRDAUS MELAMBAIMU
  • DEMI CINTA DAN RAHMATNYA
  • KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI




Oh...Oh..seram tubuhnya! Apa nama lagu macam ni? Biarlah menaruh harapan sikit. Hatiku bukan kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam itu. Aku belum nak mati lagi lah! Protes Datuk Dr. Johar.

     Dia beralih ke butang hijau. Tertera di atas skrin komputer –RAJA. Kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti.




     Kepala Datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya tentang akhirat. Apa dah jadi ni?

     “Tak ada lagu yang hot sikit ke?”tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya.

     “Nanti ya, pakcik. Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ini. Top hit anak-anak muda Darul Taqwa!” jawab anak muda itu dengan lagak bangga.

    “Ya..ya..bagus, saya setuju”, balas Datuk Dr. Johar.

     Telinganya dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar lagu kegemaran muda-mudi di daerah asing itu. Ayat suci Al-Qur’an pun bergema....

“Eh, suara orang mengaji?!”

     “Nanti dulu, pakcik. Selepas ini ada terjemahannya, kemudian baru menyusul lagunya”, kata pemuda itu sambil matanya ditutup rapat. Asyik menghayati bait-bait ayat Al-Qur’an yang berkumandang.

Kemudian getaran suara bergema
Cintaku berlabuh
Di persada rahmatMu
Mendamba kasih
Yang tidak berhujung
Mengutip sayang
Di hamparan cinta suci
Inilah getaran hatiku
Memburu cintaMu
..stanza hati merindui Ilahi...

     Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Dia merengus lalu terus meluru ke kaunter bayaran.

     “Maaf,tuan. Duit ini dah lama. Kalau tuan tak mampu bayar, kami halalkan saja...”

     Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata, “Saya bayar dengan kad kredit saja!”. Dia menghulurkan kad kredit warna keemasannya.

     “Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima. Kami halalkan saja”.

     “Tak! Pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan, berbungkal-bungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar pencuri”.

     “Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri yang terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun dahulu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa api neraka”.

     “Ah, aku tak nak dengar semua ini. Makin gila aku dibuatnya!” pekik Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu.

     Di luar, semua pandangan menyakitkan mata dan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi yang begitu tinggi? Pemandu ‘Bullet Train’ berserban merah tersenyum kepadanya. Pilot helikopter dengan tulisan ‘Makrifat Air Transport’ sibuk dengan tugasnya. Di seberang jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang jelas.

‘Keluarga Bahagia Gembira Dengan Al-Qur’an dan Sunnah’. Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan seorang perempuan berserta anak-anak mereka. Semuanya berserban , berjubah dan berpurdah. Ish, meluatnya!

     Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyuman. Baginya, semua itu seolah-olah menyindir dan mengejeknya.

Kenapa jadi begini?
Kenapa? Kenapa? Kenapa?
Mengapa? Arghhh!!

     Datuk Dr. Johar tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletup.

“Datuk! Datuk! Bangun, Datuk! Ada berita buruk!”
    
     Datuk Dr. Johar bingkas bangun. Dia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu.

     “Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah?” tanya Datuk Dr. Johar.

     “Tidak,Datuk. Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi. Mereka tak mahu pilihanraya...”

     “Habis, apa yang mereka mahu?”

     “Islam, Datuk! Islam!”

     “Meraka mahu Islam?” keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya.

Apakah aku masih lagi di Darul Taqwa? Dia gementar. Mimpinya bakal menjadi realiti.


*dari majalah istiqomah edisi kedua milik ayahanda tercinta,
(SMKAP, MUADZAM SHAH)

0 pemikir berseni:

 

Contact Lens Malaysia @ BORONG Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea